Assalamu'alaikum...


Tuesday, May 05, 2009

Catatan 1: MENGIMBAU ERTI PENDIDIKAN

Ini mungkin bukan karya falsafah, tapi ingin sekali saya berbicara tentang makna kehidupan, di mana permulaan dan pengakhiran, apa ertinya kebenaran dan keadilan. Catatan ini juga bukan catatan pengalaman semata-mata kerana saya sangat memandang tinggi maksud dan tujuan ilmu pengetahuan dan pendidikan, kesan dan implikasinya terhadap makna pembangunan insan, sehinggalah terbentuknya tamadun peradaban manusia dalam konteks yang lebih luas, yang mampu menterjemahkan erti kebahagiaan yang sering dicari-cari oleh insan sejak dahulu lagi.

Pendidikan… apa bezanya dengan pelajaran? Persoalan-persoalan ini selalu menerjah minda saya saban hari. Malah pertukaran nama Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran sering menimbulkan kegusaran dalam hati saya sehinggalah hari ini saya bertafakkur seketika tentang erti dan maknanya dalam hidup saya ketika dalam perjalanan pulang ke Taiping selepas menghadiri suatu majlis walimatul urus, anak kepada sepupu Mama di Bukit Beruntung pada tanggal 12 Rabiul Awwal 1428 Hijrah. Hari kebesaran seluruh umat Islam di dunia, yang pada hampir setiap tahun saya akan raikannya bersama sahabat-sahabat seperjuangan di majlis-majlis ilmu mahupun masjid-masjid. Sayu juga hati ini kerana tidak sempat menyambutnya seperti biasa pada tahun ini. Rupa-rupanya ada hikmah di sebaliknya yang baru saya sedari. Allah Maha Kaya lagi Maha Besar, ilmu yang saya perolehi hari ini sangat bermanfaat dan tidak mungkin saya perolehi di tempat dan ketika yang lain. SifatNya yang Maha Adil dan Maha Mengetahui menyebabkan saya tidak menyesal membuat keputusan untuk pulang ke kampung minggu itu meskipun masih banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah belum sempat disiapkan.

Dalam kereta, kami berbual panjang tentang zaman Mama dan Abah sewaktu kecil-kecil dahulu… bagaimana mereka menghabiskan zaman muda mereka, bagaimana mereka ‘dididik’ oleh semua kaum keluarga, bermula daripada peringkat nenek moyang, atok, opah dan encik (panggilan tradisi untuk emak bagi orang Perak) hinggalah ke bapa saudara, mak saudara, sepupu sepapat dan lain-lain lagi… Rupanya, baru saya sedar banyak juga sifat saya hari ini diwarisi daripada arwah atuk Ahmad (bapa Mama)… Sifat baik dan juga sifat yang kurang elok saya kira. Arwah atuk Ahmad memang terkenal dengan sifat penyayang dan pemurahnya; tak pernah lokek untuk menghulur wang ringgit kepada adik beradik, sanak saudara walaupun gajinya sebagai seorang anggota polis tidaklah seberapa pada masa itu. Arwah atuk Ahmad juga seorang yang tegas dan garang, siapa yang tidak kenal dengan Sarjan 2342 Ahmad bin Alang, melihat kelibatnya sahaja sudah buat mereka yang tidak mengenali hati budinya bergetar kepala lutut…

Menurut Mama, beliau mula bertugas di Kuala Lipis, dimana di situlah beliau berjumpa dengan arwah Yan (mak Mama) di sekitar tahun 1946…dan setelah beberapa kali berpindah, akhirnya arwah Tok Ahmad dan arwah Yan menetap di berek polis Taiping, di mana Mama dan Abah diijabkabulkan pada 3 April 1971 sebelum kedua-dua arwah mengakhiri sisa-sisa kehidupan mereka di Raub, Pahang sekitar tahun 1976. Sedikit sebanyak saya kembali merenung apa yang telah mereka korbankan pada zaman mereka demi untuk memastikan zuriat keturunan mereka mendapat ilmu dan menjadi insan yang lebih baik daripada mereka. Setelah bercerita panjang lebar, dapat saya simpulkan bahawa sememangnya penglibatan langsung generasi terdahulu dalam membangunkan insan yang baik (to produce a good man) sememangnya membawa impak besar dalam membentuk masyarakat yang baik (to build good citizen). Terhimbau baris-baris tulisan Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud yang mengulas panjang lebar dan penuh terperinci tentang gagasan falsafah pendidikan Islam yang dicetuskan oleh Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya ulungnya ‘Falsafah Pendidikan Islam’. Karya beliau ini saya sarankan untuk dimiliki, diamati dan dikhadami oleh semua mereka yang bergelar pendidik agar dasar dan asas kepada pendidikan yang diartikulasi dari perspektif Islami ini dapat difahami sedalamnya dan dihayati setulusnya.

Ironinya, para pendidik seharusnya meluruskan niat dan matlamat kita untuk berada di landasan ini supaya keberadaan kita bukanlah hanya bersifat terkebetulan, mengikut arus peredaran zaman atas dasar mencari punca rezeki mahupun pilihan yang dibuat itu diputuskan secara rela atas rasa menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara.

No comments:

MARTABATKAN BAHASA MELAYU

http://3.bp.blogspot.com/_sYx8LhsF1y0/SbWC82h4wXI/AAAAAAAAAyQ/lEE8zDYGxCQ/s1600-h/ppsmi_02.png